Khamis, 1 April 2021 | 1:47pm
 Keadaan lori yang terbalik selepas terbabas dan melanggar tebing bukit hingga menyebabkan tiga beranak maut serta empat lagi cedera. - Foto ihsan PDRM
Keadaan lori yang terbalik selepas terbabas dan melanggar tebing bukit hingga menyebabkan tiga beranak maut serta empat lagi cedera. - Foto ihsan PDRM

Lori dinaiki terbabas, 3 beranak maut, 4 cedera

PAPAR: Sepasang suami isteri dan seorang anak perempuannya maut, manakala empat lagi anak mangsa cedera termasuk seorang parah selepas lori dinaiki mereka terbabas di Kilometer 42, Jalan Kimanis - Keningau, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, lori dinaiki tujuh sekeluarga terbabit yang turut membawa muatan sebuah van, sedang dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit, berkata siasatan awal mendapati, lori itu dipercayai dipandu laju sebelum tiba-tiba hilang kawalan.

Katanya, ia menyebabkan lori terbabas sendiri ke jalan bertentangan sebelum melanggar tebing bukit dalam keadaan menuruni bukit.

"Polis percaya brek lori berkenaan gagal berfungsi dengan baik dan akibat kemalangan itu, pemandu lori tersepit di tempat duduk hadapan lori, manakala isteri dan seorang anak perempuannya pula tercampak keluar.

"Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Papar yang hadir membantu di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew berkata, empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, tiga mangsa yang maut berusia 12 hingga 40 tahun, manakala empat yang cedera termasuk seorang parah berusia lingkungan empat hingga 15 tahun.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X