Selasa, 30 March 2021 | 6:42pm
Sebanyak 880 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM26,000 dirampas selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menahan dua lelaki dalam dua kejadian berasingan di Padang Besar pada Ahad dan semalam. - Foto ihsan PGA Briged Utara
Sebanyak 880 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM26,000 dirampas selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menahan dua lelaki dalam dua kejadian berasingan di Padang Besar pada Ahad dan semalam. - Foto ihsan PGA Briged Utara

PGA rampas 880 kg daun ketum

PADANG BESAR: Sebanyak 880 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM26,000 dirampas selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menahan dua lelaki dalam dua kejadian berasingan di Padang Besar pada Ahad dan semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner, Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata dalam kejadian jam 11 pagi semalam, anggota peronda PGA dari Batalion 3 yang sedang menjalankan tugas rondaan di dalam kebun berhampiran Pos C15 di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar terserempak dengan empat lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Anggota PGA yang bertugas kemudian mengarahkan lelaki berkenaan untuk berhenti namun mereka memecut laju mengelakkan diri dari ditahan.

"Dua lelaki berjaya melarikan diri manakala dua lagi rakan mereka berusia 32 dan 22 tahun berjaya ditahan bersama motosikal yang dinaiki" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek berusia 22 tahun itu kemudian menemukan satu plastik lutsinar mengandungi tiga paket kecil disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 4.11 gram.

"Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan berkenaan kemudian menjumpai 16 guni putih sarat mengandungi daun hijau dipercayai daun ketum seberat 480 kg bernilai RM14,400 dipercayai milik suspek.

"Selain dadah dan daun ketum, kita turut merampas dua alat penimbang serta dua motosikal jenis Honda Dash dan Honda Wave milik suspek," katanya.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk siasatan lanjut.

Ghani berkata, dalam satu lagi kes sekitar jam 9 malam pada Ahad, anggota PGA menemui 13 guni putih mengandungi daun hijau disyaki daun ketum seberat 400 kg bernilai RM12,000 yang ditinggalkan penyeludup di satu kawasan semak di Kampung Kubang Tiga, Chuping

Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke Thailand.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X