Sabtu, 27 March 2021 | 8:46pm
Sebahagian peserta yang berhimpun di laluan masuk Parlimen berhubung isu Undi 18. - Foto Azhar Ramli
Sebahagian peserta yang berhimpun di laluan masuk Parlimen berhubung isu Undi 18. - Foto Azhar Ramli

Undi 18: Polis panggil peserta himpunan

Kuala Lumpur: Polis akan memanggil penganjur dan peserta perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan isu had umur kelayakan mengundi 18 tahun di Jalan Parlimen, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata pihaknya juga menjalankan siasatan berhubung perhimpunan yang diadakan itu.

"Dalam perhimpunan berkenaan sekumpulan pemuda dari Pakatan Harapan dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir di Padang Merbok dan berarak menuju ke Jalan Parlimen.

"Semua yang terbabit dalam perhimpunan itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis; dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021.

"Polis meminta orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perhimpunan berkenaan boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Terdahulu, kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada golongan mahasiswa dan NGO mengadakan Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen, di sini.

Himpunan secara aman itu diadakan bagi meluahkan rasa kesal terhadap pengumuman SPR kelmarin bahawa kelayakan mengundi 18 tahun (Undi 18) dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak dapat dilaksanakan Julai ini, sebaliknya dijangka selepas 1 September tahun depan.

Berita Harian X