X
Rabu, 24 March 2021 | 8:09pm
Sebanyak 210 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM6,000 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berhampiran laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, di Padang Besar semalam. - Foto ihsan PGA Briged Utara
Sebanyak 210 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM6,000 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berhampiran laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, di Padang Besar semalam. - Foto ihsan PGA Briged Utara

Lagi 200kg ketum dirampas di sempadan

PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas 210 kilogram (kg) daun ketum ketika menjalankan penugasan Op Benteng COVID-19 di Pos Kawalan BKC 7 berhampiran laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner, Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata dalam rampasan jam 2.30 petang, tiga anggota PGA dari Batalion 3 sedang menjalankan tugas rondaan ternampak enam longgokan guni putih yang ditinggalkan di situ.

"Mengesyaki longgokan guni berkenaan untuk tujuan penyeludupan, anggota PGA menunggu dan membuat pemerhatian lebih kurang satu jam di kawasan berkenaan. Bagaimanapun tiada individu tampil atau cuba menghampiri guni berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan selanjutnya mendapati guni daun ketum berkenaan seberat 210 kg dianggarkan bernilai RM6,000 dan semua rampasan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.

"Kita percaya bekalan daun ketum itu cuba diseludup keluar ke Thailand memandangkan kawasan berkenaan adalah kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan sering digunakan penyeludup untuk menyeludup ketum," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Berita Harian X