Rabu, 24 March 2021 | 1:29pm

Pemandu warga China mabuk punca kemalangan 5 kereta

AMPANG: Seorang wanita warga China memandu di bawah pengaruh alkohol dipercayai menjadi punca nahas lima kenderaan di Jalan Bunga Mawar 5A, Taman Muda, Ampang, malam tadi.

Ia juga kemalangan ketiga berturut-turut di daerah ini semalam di mana seorang peniaga memandu dalam keadaan mabuk menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Mewah 2/3 Pandan Mewah.

Satu lagi kemalangan membabitkan seorang petugas ambulans yang sedang memberikan bantuan kecemasan dan anggota polis yang mengawal lalu lintas ketika kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak, berkata kemalangan ketiga itu berlaku pada jam 11 malam membabitkan lima kenderaan iaitu Proton Wira, Mazda, Honda City, Chevrolet dan Proton Saga.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca apabila Proton Wira yang dipandu wanita warganegara China berusia 54 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

"Kemalangan menyebabkan kerosakan kepada semua kenderaan namun tidak membabitkan kecederaan.

"Siasatan awal mendapati, kereta Proton Wira dipandu suspek di Jalan Bunga Cempaka 2 hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta Mazda yang diparkir di kiri jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammed Farouk berkata, suspek kemudiannya mengundurkan keretanya lalu melanggar kereta Honda City yang diparkir di bahu kanan jalan.

"Akibat perlanggaran itu, kereta Honda City teranjak ke hadapan dan melanggar kereta Chevrolet yang diparkir di hadapannya.

"Suspek seterusnya memandu ke arah Jalan Bunga Mawar 5a namun sebaik sampai di jalan itu, dia sekali lagi hilang kawalan lalu melanggar kereta Proton Saga yang diparkir di tepi kanan jalan dan sebatang tiang lampu di tepi kiri jalan," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya mengundurkan keretanya hingga terhenti di dalam garaj yang terdapat di tepi kiri jalan.

"Ujian kandungan alkohol dalam darah suspek dijalankan menggunakan mesin jenis EBA-II dan hasil mendapati tahap kandungan alkohol pemandu itu melebihi had yang ditetapkan.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sebanyak RM5,000 dan tidak lebih daripada RM 10,000 dan boleh juga dipenjara selama tidak melebihi 12 bulan," katanya.

Katanya, suspek direman sehingga 27 Mac ini dan saksi bebas diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Nur NadzirahAbdul Rahim di talian 012-4401093.

Berita Harian X