Selasa, 23 March 2021 | 12:37am
Keadaan kenderaan dirempuh pikap Toyota Hilux membabitkan lima kenderaan di Pandan Mewah, Ampang malam tadi. - Foto ihsan pembaca
Keadaan kenderaan dirempuh pikap Toyota Hilux membabitkan lima kenderaan di Pandan Mewah, Ampang malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Mabuk punca kemalangan 5 kenderaan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki memandu kereta dan disyaki berada di bawah pengaruh alkohol menjadi punca nahas lima kenderaan di Jalan Mewah 2/3 Pandan Mewah, Ampang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak, berkata kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux, Perodua Bezza, Proton Saga, Volkswagen Beetle dan Proton Wira, berlaku kira-kira jam 7 malam.

"Kejadian berlaku ketika Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 48 tahun dipercayai mabuk, dari Taman Putra membelok ke Jalan Mewah 2/3.

"Kenderaan berkenaan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh kereta Perodua Bezza yang diparkir di kiri jalan.

"Toyota Hilux itu kemudian merempuh Proton Saga sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar Volkswagen Beetle yang terbabas ke kiri jalan dan melanggar Proton Wira diparkir tepi laluan itu," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mohammed Farouk berkata, hasil ujian saringan dilakukan terhadap pemandu Toyota Hilux berkenaan mendapati tahap kandungan alkohol lelaki terbabit melebihi had ditetapkan, manakala ujian air kencing pula didapati negatif dadah.

Katanya, pemandu itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman terhadapnya akan dijalankan di Mahkamah Majistret Ampang, esok.

"Kemalangan berkenaan turut mengakibatkan pemandu Volkswagen Beetle cedera dada dan dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan.

"Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil. Siasatan lanjut pula mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, manakala saksi kemalangan sedang dikesan," katanya.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348.

Berita Harian X