Isnin, 22 March 2021 | 3:18pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

PERWATAM pertikai polis saman gagal pamer LKM

KUALA LUMPUR: Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) mempertikaikan tindakan polis menyaman seorang lelaki kerana gagal mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM), 19 Mac lalu.

Pengerusinya, Hishamuddin Abd Aziz, berkata ia berikutan Kementerian Pengangkutan sudah mengumumkan pengecualian kepada semua pemilik kenderaan persendirian bagi pembaharuan LKM dari 1 Februari hingga 31 Mac ini.

Beliau mendakwa, individu itu disaman polis dalam satu sekatan jalan raya pada jam 8.45 malam di Kilometer 11.9 Lebohan Dagang, Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, lelaki terbabit yang juga pelanggan PERWATAM, dikatakan telah menunjukkan bukti 'e-cover note' insurans dan memaklumkan kepada pihak polis mengenai pengecualian pembaharuan LKM itu.

Namun, beliau berkata, pegawai polis itu didakwa memaklumkan bahawa LKM perlu juga diperbaharui dan dipamerkan dalam situasi sekarang, sebelum mengeluarkan saman atas kesalahan tidak mempamerkan LKM.

"Januari lalu, Menteri Pengangkutan ada membuat kenyataan media berkaitan pengecualian pembaharuan LKM persendirian dan pemandu hanya perlu menunjukkan bukti 'e-cover note' insurans dari 1 Februari hingga 31 Mac ini. Poster kenyataan itu turut disebarkan melalui laman sosial Facebook dan Telegram Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Pada masa sama, pihak JPJ dan rakan niaga JPJ, iaitu pejabat pos telah menutup operasi kaunter bagi transaksi LKM persendirian.

"Saya juga telah dimaklumkan bahawa rakan niaga JPJ yang lain, iaitu MYEG dikatakan kehabisan bekalan disk LKM buat masa ini dan menjangkakan kelewatan penghantaran disk itu kepada pelanggan yang telah memperbaharui LKM secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Hishamuddin menyifatkan tindakan saman itu sebagai di luar jangkaan dan mengelirukan orang awam.

Beliau berkata, kekeliruan itu juga tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pegawai agensi penguatkuasaan, terutama polis yang terbabit secara langsung dalam sekatan jalan raya.

"Saya berharap pihak JPJ segera memberi maklumat lebih jelas kepada agensi penguatkuasaan yang terbabit supaya perkara ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

"JPJ juga perlu menyampaikan maklumat tepat menggunakan segala kaedah hebahan kepada orang ramai mengenai pengecualian pembaharuan LKM, dan memberi alternatif terbaik jika disaman dalam tempoh pengecualian pembaharuan LKM," katanya.

Berita Harian X