Isnin, 22 March 2021 | 12:32pm

Doktor pelatih rugi RM287,360 diperdaya Macau Scam

SEREMBAN: Seorang doktor pelatih perubatan berusia 25 tahun kerugian RM287,360 dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani, berkata doktor hospital kerajaan itu menerima panggilan daripada 'pegawai LHDN' terbabit pada 6 Februari lalu.

Beliau berkata, lelaki itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,000, dan panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan ke IPK Pahang.

"Seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis memaklumkan mangsa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah.

"Mangsa diarah melapor diri dan berhubung melalui aplikasi WhatsApp dan selang dua hari kemudian mangsa menerima panggilan dan dimaklumkan mereka akan membantunya menyelesaikan semua kes itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aibee berkata, pada 10 Februari lalu mangsa diminta menyerahkan semua maklumat perbankan, selain memuat turun aplikasi 'Bank Negara' untuk mempermudahkan urusan.

"Suspek juga meminta mangsa membuat pinjaman peribadi berjumlah RM200,000.

"Pada 9 Mac lalu, mangsa menerima penyata daripada Bank Standard Chartered dan mendapati berlaku transaksi pindahan wang daripada akaunnya kepada beberapa akaun lain berjumlah RM94,560.

"Semakan dibuat mangsa pada akaun Bank Rakyat pula mendapati berlaku transaksi berjumlah RM192,800, sebelum berasa dirinya ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Jalan Campbell, semalam," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X