Khamis, 18 March 2021 | 8:48pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kilang plastik didenda RM100,000

SHAH ALAM: Sebuah kilang kitar semula plastik terpakai didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengarah Alam Sekitar Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata kilang yang terletak di Kampung Sungai Choh, Rawang itu dikenakan denda bagi enam pertuduhan kerana menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Malah katanya, kilang terbabit juga menjalankan aktiviti tanpa mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pengeluaran efluen perindustrian dan pencemaran udara serta gagal memasang alat kawalan pencemaran udara di premisnya.

"Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS) yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

"OKS yang hadir adalah seorang pengurus kilang terbabit yang berusia 45 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kilang berkenaan dituduh melakukan kesalahan pada 18 April 2019 di sebuah premis kerana gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah (JAS) mengenai punca pengeluaran pencemaran udara seperti kehendak di bawah Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

"Bagi pertuduhan kedua pula OKS didapati gagal memasang alat kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah.

"Seterusnya OKS juga dituduh bagi kesalahan pada 21 Ogos 2019 di sebuah premis lain kerana menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan EIA seperti kehendak Seksyen 34A (2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, OKS didapati gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pengeluaran efluen perindustrian dan pencemaran udara seperti kehendak Peraturan 4(1) (b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014," katanya.

Syarikat itu juga menghadapi tuduhan keenam iaitu gagal memasang alat kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah.

"Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Berita Harian X