Selasa, 16 March 2021 | 5:31pm

2 anggota polis, 2 orang awam ditahan bantu siasatan kes samun

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, dan dua orang awam termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam menyamun lima kotak rokok, pemetik api dan gula-gula dari sebuah kedai serbaneka di Kelana Jaya, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, suspek wanita berusia 36 tahun dikatakan memasuki premis kedai serbaneka di kawasan SS 6, dengan memakai jaket polis dan mengambil beberapa barang dalam premis tanpa membuat sebarang pembayaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pekerja kedai yang juga mangsa meminta suspek membuat pembayaran dengan segera namun suspek memberikan alasan bahawa pegawai atasannya akan datang untuk membuat pembayaran dalam tempoh satu jam.

Katanya, suspek kemudian terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta peronda polis Honda Civic.

"Hasil risikan dan maklumat pada hari sama, kira-kira jam 5 petang, sepasukan polis dari Balai Polis Kelana Jaya, menahan dua anggota polis di IPD Dang Wangi, berusia 31 dan 38 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes yang disiasat.

"Hasil siasatan susulan terhadap seorang anggota terbabit, sepasukan polis dari Balai Polis Sea Park, menahan suspek wanita yang disyaki melakukan samun dan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, semakan mendapati suspek wanita itu memiliki tujuh rekod kes jenayah dan satu rekod kes dadah manakala suspek lelaki mempunyai lima rekod kes jenayah dan lapan kes dadah.

Semua suspek direman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara 14 tahun dan denda serta sebatan.

Berita Harian X