Selasa, 16 March 2021 | 12:43pm

Lelaki mengaku bersalah dera bayi

BUTTERWORTH: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menganiayai seorang bayi sehingga mangsa mengalami kecederaan pada 6 Mac lalu.

Muhammad Fakhri Abdul Muthalib, 25, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan, telah menganiayai mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada dahi, bahagian bawah mata dan perut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di dalam bilik sebuah pangsapuri di Jalan Harbour Place, di sini, kira-kira jam 9 malam 6 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Mahkamah bagaimanapun belum menjatuhi hukuman ke atas tertuduh kerana menunggu laporan perubatan mangsa daripada Hospital Seberang Jaya.

Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh memaklumkan bahawa dirinya yang bekerja kampung, tiada sesiapa dapat menjamin.

Mahkamah juga menetapkan 16 April depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Muhammad Fakhri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD
Muhammad Fakhri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD
Berita Harian X