Ahad, 14 March 2021 | 11:46pm
Keadaan kereta Proton X70 dipandu setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada seorang menteri dalam kejadian di KM 14.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Damansara, tengah malam tadi. - Foto PDRM
Keadaan kereta Proton X70 dipandu setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada seorang menteri dalam kejadian di KM 14.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Damansara, tengah malam tadi. - Foto PDRM

SUSK Tok Pa parah kereta langgar besi

KUALA LUMPUR: Setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada seorang menteri cedera apabila kenderaannya terlanggar sebatang besi dan terbabas di Kilometer 14.6 Lebuhraya Utara Selatan hala ke Damansara, Petaling Jaya, tengah malam tadi.

Difahamkan mangsa adalah SUSK Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 malam, lelaki berusia 47 tahun itu memandu PROTON X70 bersendirian dikatakan terlanggar sebatang besi di tengah lebuh raya sebelum ia melantun ke cermin hadapan.

Batang besi itu kemudian menembusi cermin hadapan dan terkena mangsa sehingga menyebabkannya patah tulang hidung serta cedera bahagian pipi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata akibat kejadian itu, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar penghadang kiri jalan.

"Objek batang besi berkenaan berkemungkinan terjatuh daripada lori yang melalui kawasan itu kerana pemeriksaan mendapati tiada kerja pembinaan dijalankan ketika kejadian.

"Mangsa yang cedera dikejarkan ke sebuah hospital swasta berhampiran untuk rawatan dan kenderaannya pula mengalami pelbagai kerosakan pada bahagian hadapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Al Rassid Borhanudin di talian 019-9905570 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662176.

Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X