Sabtu, 13 March 2021 | 9:39am
Kemalangan mengakibatkan lima maut di Kilometer 334 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Simpang Gesing di Raub, semalam. - Foto FB Bomba Raub
Kemalangan mengakibatkan lima maut di Kilometer 334 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Simpang Gesing di Raub, semalam. - Foto FB Bomba Raub

Empat beranak antara lima maut kemalangan

KUANTAN: Empat beranak antara lima yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 334 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Simpang Gesing di Raub, kira-kira 240 kilometer dari sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan pada 3.15 petang itu membabitkan sebuah kenderaan pikap, Toyota Hilux dan sebuah kereta Chevrolet Optra yang dinaiki keluarga terbabit.

Mereka yang maut ialah bekas tentera Muhamad Fadzli Aming, 45, yang memandu kereta, isterinya Nur Asyitah Abu Samah, 44, serta dua anak mereka Muhammad Iqmal, 13, dan Irina Nur Qhalesya, tujuh, yang beralamat di Kampung Jeruas Sega, Raub.

Nur Asyitah disahkan maut di tempat kejadian sementara Irina Nur Qhalesyah meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis, manakala Muhamad Fadzli dan Muhammad Iqmal, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Raub.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan berhampiran Simpang Gesing di Raub. - Foto Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan berhampiran Simpang Gesing di Raub. - Foto Bomba

Turut maut ialah penumpang Toyota Hilux, Wan Syahrul Munif Wan Jaffar, 44, manakala rakannya berusia 30 tahun yang memandu, cedera di tangan dan kini menerima rawatan di Hospital Raub.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan hilang kawalan, dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung kereta dinaiki keluarga berkenaan.

"Pemandu kereta dipercayai tidak dapat mengelak kerana jarak yang terlalu hampir dan kemalangan mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit remuk teruk pada bahagian hadapan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Raub dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Berita Harian X