Khamis, 11 March 2021 | 3:42pm
Lokasi anggota wanita JPAM yang maut dalam kemalangan di Kilometer 36, Jalan Klang-Banting-Port Dickson, tengah malam tadi. - Foto PDRM
Lokasi anggota wanita JPAM yang maut dalam kemalangan di Kilometer 36, Jalan Klang-Banting-Port Dickson, tengah malam tadi. - Foto PDRM

Anggota wanita JPAM maut dilanggar

KUALA LANGAT: Seorang anggota wanita Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 36, Jalan Klang-Banting-Port Dickson, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata mangsa dikenali sebagai Nor Hezlina Nazrin, 19, yang parah pada kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, ketika nahas kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Banting menghala ke Morib dipercayai dilanggar oleh sebuah Proton Wira dari belakang arah sama.

"Selepas dilanggar dari belakang oleh Proton Wira terbabit, motosikal mangsa termasuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Kia Spectra dan sebuah Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

"Pada masa sama, Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berumur 19 tahun itu turut melanggar sebuah Proton Satria yang berada di sebelah kirinya.

"Proton Wira terbabit dipercayai mengheret mangsa ke kanan jalan sejauh kira-kira 50 meter ke hadapan," katanya.

Azizan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Katanya, semua saksi yang terbabit dalam kemalangan berumur di antara 19 tahun hingga 26 tahun itu tidak cedera dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan selanjutnya.

"Saksi bebas yang melihat kemalangan juga dapat dikesan dan dirakam percakapan.

"Rakaman percakapan saksi bebas adalah konsisten dengan siasatan pegawai penyiasat kes manakala pemandu Proton Wira yang melanggar mangsa sudah diambil sampel darah di Hospital Banting, untuk dianalisis di Jabatan Kimia.

"Sama ada kemalangan berpunca daripada kereta berlumba masih dalam siasatan polis. Siasatan ke atas saksi yang tahu mengenai kejadian ini masih berjalan," katanya.

Beliau berkata, siasatan ke atas pemandu Proton Wira itu juga mendapati dia tidak memiliki lesen memandu dan tidak bekerja.

"Siasatan lanjut mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

Berita Harian X