Rabu, 10 March 2021 | 6:00pm
Nik Ezanee pada sidang media Jenayah dan Narkotik di IPD Daerah Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Nik Ezanee pada sidang media Jenayah dan Narkotik di IPD Daerah Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Pekerja kedai emas songlap barang kemas sejak 2 tahun

PETALING JAYA: Kegiatan seorang wanita mencuri barang kemas dari sebuah kedai emas yang juga tempat kerjanya sejak dua tahun lalu terbongkar apabila majikan membuat laporan polis akibat mengalami kerugian bernilai RM2 juta.

Suspek berusia 42 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumahnya di Sungai Way, pada 1 Mac lalu selepas siasatan polis mendapati suspek mengambil seutas rantai emas dan mengikatnya di paha selepas tamat waktu bekerja.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata, pemilik kedai emas itu mendakwa mengalami kerugian RM2 juta berikutan kehilangan barang kemas di kedainya.

Beliau berkata siasatan polis mendapati kerugian premis terbabit berpunca daripada kehilangan emas di premis itu.

"Susulan siasatan ke atas suspek, polis kemudian menahan dua wanita dan seorang lelaki berusia 27 hingga 36 tahun dalam serbuan di tiga kedai pajak di Sungai Way.

"Kita merampas pelbagai barang kemas yang dianggarkan RM138,000. Suspek utama dituduh di mahkamah, manakala tiga lagi yang ditahan menjadi saksi pendakwaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan Nik Ezanee memaklumkan pihaknya memberkas seorang lelaki berusia 30 tahun yang disyaki terbabit dengan kes pecah kereta pada Isnin.

"Kita menemui beberapa barangan yang disyaki hasil curi termasuk 'android player' dalam sebuah kereta," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, suspek disyaki terbabit dengan 11 kes pecah kereta.

"Kita masih mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Ruban berusia 24 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes itu," katanya.

Nik Ezanee menunjukkan foto suspek yang dikehendaki polis. - Foto BERNAMA
Nik Ezanee menunjukkan foto suspek yang dikehendaki polis. - Foto BERNAMA

Berita Harian X