Isnin, 8 March 2021 | 9:48pm
Seramai 19 PATI termasuk seorang wanita ditahan menerusi Op Benteng di sekitar Pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor pagi tadi. - Ihsan ATM
Seramai 19 PATI termasuk seorang wanita ditahan menerusi Op Benteng di sekitar Pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor pagi tadi. - Ihsan ATM

19 PATI sedang tunggu bot ditahan

KUALA LUMPUR: Pasukan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) menahan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tiga serbuan menerusi Op Benteng di sekitar Pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor, pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan, hari ini, berkata kesemua PATI warga Indonesia itu dipercayai sedang menunggu bot untuk keluar dari negara ini melalui laluan tidak sah.

"Pasukan itu menerima maklumat daripada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai pergerakan PATI berhampiran Pantai Desaru.

"Sepasukan anggota pasukan Quick Reaction Force (QRF) kemudian diatur gerak bersama Pasukan Drone, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk mengepung kawasan berkenaan.," katanya.

Kata kenyataan itu, hasil serbuan pada jam 3.30 pagi, pihaknya menahan sekumpulan 12 PATI sedang bersembunyi 200 meter dari Desaru Holiday Chalet Seaview.

"Serbuan seterusnya dilakukan pada jam 4 pagi sebaik mendapat maklumat daripada Pasukan Dron yang mengesan pergerakan di tepi pantai Westin Desaru Coast Resort dan berjaya menahan tiga lagi PATI.

"Empat lagi PATI ditahan di lokasi sama pada jam 7.50 pagi dan 11.40 pagi," katanya.

Katanya, tangkapan terdiri daripada 18 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 55 tahun.

"Kita turut merampas wang tunai RM28,271, mata wang Indonesia 19.4 juta Rupiah (RM5,554) serta beberapa telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM51,704," katanya.

Semua PATI kemudian dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Berita Harian X