Ahad, 7 March 2021 | 12:10pm

Bapa cabul anak kandung

JOHOR BAHRU: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 14 tahun, tahun lalu.

Tertuduh, pekerja pendawaian yang berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh yang memakai baju kemeja T biru dan berseluar pendek, didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas anak perempuannya yang ketika itu, berusia 14 tahun dengan menyentuh kemaluan kanak-kanak berkenaan, selain menyuruh kanak-kanak itu menyentuh kemaluannya.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Bandar Putra, Kulai pada Jun dan Februari 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, yang masing-masing membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, selain penjara maksimum lima tahun dan maksimum dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Azwad Sariman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, berikutan kesalahan jenayah seksual kanak-kanak tidak membenarkan jaminan, selain bagi memastikan keselamatan kanak-kanak perempuan yang juga anak kedua tertuduh terjamin.

Namun, peguam meminta tarikh lain bagi membuat hujahan mengenai jaminan ke atas tertuduh.

Hakim kemudian menetapkan 25 April depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun, tahun lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun, tahun lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Berita Harian X