Isnin, 1 March 2021 | 10:39pm

Suspek kes merusuh serah diri selepas dua bulan

KOTA KINABALU: Selepas lebih dua bulan diburu, suspek kes rusuhan sehingga menyebabkan kematian di sebuah restoran di Beaufort, Disember lalu menyerah diri hari ini.

Suspek, Hobalan N Vello atau lebih dikenali sebagai Jimmy Black, ditahan di Jalan Tunku Abdul Rahman berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, jam 11 pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata suspek berusia 37 tahun itu menyerah diri dan ditahan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (D9).

Jimmy ditahan selepas dikehendaki bersabit siasatan kes Beaufort membabitkan Seksyen 320 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut sebelum pendakwaan," katanya hari ini.

Dalam kejadian Disember lalu, suspek Jimmy Black dikehendaki polis selepas kejadian serangan sekumpulan lelaki tempatan yang mabuk terhadap pemilik restoran. Suspek kes serangan itu membabitkan Jimmy dan seorang rakannya.

Rakan Jimmy, Kesavan Perembalam, 34, ditahan polis IPD Beaufort beberapa hari selepas kejadian.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki parah selepas ditetak dengan parang manakala seorang lagi turut cedera di kepala disyaki akibat dilibas menggunakan kepala tali pinggang.

Bagaimanapun mangsa meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pagi semalam.

Berita Harian X