Jumaat, 26 Februari 2021 | 8:39pm
Polis memberkas seorang daripada dua suspek menaiki Kereta Proton Waja yang melanggar lori dan Perodua Myvi di Sierramas hari ini. FOTO NSTP
Polis memberkas seorang daripada dua suspek menaiki Kereta Proton Waja yang melanggar lori dan Perodua Myvi di Sierramas hari ini. FOTO NSTP

Seorang daripada dua suspek menaiki Proton Waja diberkas polis

KUALA LUMPUR: Polis berjaya memberkas seorang daripada dua suspek menaiki Proton Waja yang melanggar lori dan Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Sierramas di Sungai Buloh, kurang empat jam selepas insiden itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan penahanan itu namun belum memberi butiran lanjut penahanan suspek itu.

Suspek lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan hasil tindakan pantas pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar jam 4 petang tadi.

Suspek dilaporkan bersembunyi di tepi sebuah bangunan kosong dekat kawasan perkampungan dianggarkan sejauh lapan kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Sumber berkata, pihak polis turut menemui sejumlah dadah dalam kereta dinaiki suspek yang berkemungkinan menjadi sebab utama mereka enggan memberhentikan kereta dinaiki ketika cuba ditahan.

Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Petaling Jaya ketika sedang giat memburu seorang lagi suspek.

Terdahulu, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari tadi, tular satu video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kenderaan.

Kenderaan dengan nombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang di lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Selepas gagal untuk mencelah di antara dua kenderaan di hadapannya, suspek kemudian mengundurkan kereta ke belakang dan melanggar kereta lain.

Suspek kemudian memecut kereta dinaiki mereka menghala ke arah Jalan Sungai Buloh, dan memberhentikan kereta itu di tepi jalan berhadapan Stesen MRT, Damansara Damai, sebelum melarikan diri.

Berita Harian X