Rabu, 24 Februari 2021 | 1:58pm

Peniaga air tebu hadapi 55 tuduhan sumbang mahram, 9 kes rogol

KLANG: "Boleh saya tanya, kenapa pertuduhan saya terlalu banyak?"

Demikian kata seorang lelaki berusia 42 tahun yang menghadapi 55 tuduhan sumbang mahram dan sembilan dakwaan merogol rakan anaknya ketika mencelah sewaktu pertuduhan dibacakan terhadapnya hari ini.

Dia yang juga peniaga air tebu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya dan rakan anaknya yang berusia 14 tahun sejak April 2019.

Tertuduh, yang juga bapa kepada tujuh anak termasuk dua anak tiri itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 55, dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan antara April 2019 hingga Januari 2021, melakukan sumbang mahram di rumahnya di Klang dengan melakukan persetubuhan dengan anak kandungnya.

Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun bagi setiap tuduhan.

Bagi sembilan tuduhan lain, dia didakwa merogol rakan anaknya yang juga kanak-kanak berusia 14 tahun itu antara Ogos 2020 hingga Januari 2021 di lokasi sama di Klang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar dan tertuduh diwakili peguam Khairul Naim Rafidi.

Terdahulu, Khairul Naim memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan syarat yang ketat.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah ikat jamin diberikan kepada tertuduh kerana kesalahan seksual yang serius.

Hakim Kunasundary kemudian menolak jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 24 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan semua pertuduhan yang dibacakan, tertuduh berdepan hukuman 1,830 tahun penjara maksimum jika disabitkan kesalahan.

Polis membawa peniaga air tebu ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi tuduhan sumbang mahram dan merogol rakan anaknya - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Polis membawa peniaga air tebu ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi tuduhan sumbang mahram dan merogol rakan anaknya - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X