Selasa, 23 Februari 2021 | 5:35pm

Suami isteri curi susu formula bayi dicekup

KLANG: Kegiatan suami isteri warga tempatan mencuri barangan di kedai serbaneka, kedai runcit, pasar raya serta farmasi di sekitar daerah ini terbongkar apabila ditahan polis pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata pasangan berkenaan dipercayai menjadikan kedai serta farmasi yang tidak mempunyai alat pengimbas sebagai sasaran mereka melakukan jenayah bagi mengelak daripada dikesan.

Katanya, turut ditahan adalah dua lelaki iaitu pemilik dan pekerja kedai runcit yang dipercayai membeli hasil barangan curi pasangan terbabit.

"Kegiatan jenayah berkenaan terbongkar apabila seorang pekerja sebuah farmasi di daerah ini membuat laporan pada 7 Februari lalu bahawa terdapat dua individu mencuri barang dengan memasukkan ke dalam beg sandang tanpa disedari pekerja.

"Perkara itu hanya disedari pekerja selepas memeriksa semula kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan nilai kerugian yang dialami adalah kira-kira RM1,200," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan itu pihaknya menahan sepasang suami isteri pada Jumaat lalu dan dua lelaki (pemilik dan pekerja kedai runcit) pula ditahan semalam.

Katanya, pasangan berkenaan memilih barangan yang mempunyai nilai yang tinggi seperti susu formula bayi serta produk kosmetik dan penjagaan diri seterusnya menjual dengan harga yang rendah kepada kedai runcit terbabit.

"Pembeli (kedai runcit) akan menukar tanda harga dan menjual semula barangan berkenaan di kedai miliknya serta menerusi platform jualan atas talian.

"Pasangan terbabit dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak setahun lalu dan kita percaya dengan penangkapan ini, kita berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian membabitkan kerugian kira-kira RM50,000 di sekitar daerah ini," katanya.

Nurulhuda berkata, semua tangkapan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an dan pihaknya kini mengesan beberapa kumpulan lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan yang sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman sehingga esok.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh (kanan) menunjukkan barang kes curi dalam premis pasar raya dan farmasi pada sidang media di Pejabat Polis Daerah Klang Utara. - Foto FAIZ ANUAR
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh (kanan) menunjukkan barang kes curi dalam premis pasar raya dan farmasi pada sidang media di Pejabat Polis Daerah Klang Utara. - Foto FAIZ ANUAR
Berita Harian X