Isnin, 22 Februari 2021 | 7:11am
Antara daun ketum dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dalam lima operasi ‘Op Benteng Covid’ di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Kuala Perlis bermula Sabtu hingga semalam. - Foto ihsan PGA Briged Utara
Antara daun ketum dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dalam lima operasi ‘Op Benteng Covid’ di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Kuala Perlis bermula Sabtu hingga semalam. - Foto ihsan PGA Briged Utara

PGA rampas 995kg daun ketum di Padang Besar, Kuala Perlis

PADANG BESAR: Sebanyak 995 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM29,850 yang cuba diseludup ke Thailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dalam lima operasi 'Op Benteng Covid' di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Kuala Perlis bermula Sabtu hingga semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata rampasan dilakukan oleh anggota dari Batalion 1 PGA yang berpangkalan di Ulu Kinta, Perak.

"Dalam kejadian pertama sekitar jam 6.30 petang Sabtu lalu, anggota PGA yang sedang membuat rondaan di kawasan kebun getah di Felda Mata Ayer, di sini menemui 10 guni putih mengandungi daun hijau disyaki ketum seberat 300kg yang dianggarkan bernilai RM9,000.

"Selain itu, kami turut menemui sebuah Toyota Hilux dipercayai ditinggalkan penyeludup ketika dikejar anggota kita di mana kenderaan berkenaan dianggarkan bernilai RM65,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, rentetan daripada penemuan daun ketum itu, pihaknya menggiatkan langkah pembanterasan penyeludupan bahan terlarang berkenaan dan pada jam 11.15 malam pada hari yang sama, pihaknya menemui 11 guni daun ketum seberat 275kg bernilai RM8,250 di sebuah kawasan tepi sungai di Kampung Wai, Kuala Perlis.

"Pada hari berikutnya pula, anggota PGA yang membuat rondaan di sebuah kawasan kebun getah di Padang Besar pada jam 6.30 pagi menjumpai lima guni putih mengandungi daun hijau disyaki daun ketum seberat 150kg bernilai RM4500.

"Rampasan pada hari berkenaan itu bagaimanapun belum lagi menunjukkan tanda akan berakhir apabila dalam jangka masa 50 minit kemudian anggota kita menemui lapan lagi guni putih mengandungi daun hijau disyaki ketum seberat 240kg bernilai RM7,200 di satu lagi kebun getah berhampiran laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

"Pembanterasan daun ketum sepanjang semalam akhirnya berakhir dengan penemuan satu guni putih yang mengandungi daun hijau dipercayai daun ketum seberat 30kg bernilai RM900 dalam sebuah pikap Mitsubishi Pajero di sebuah ladang getah di Chuping, di sini sekitar jam 10 pagi," katanya.

Beliau berkata, kesemua rampasan daun ketum berkenaan dianggarkan bernilai RM29,850, manakala rampasan kenderaan pula dianggarkan bernilai RM90,000.

"Kita percaya bekalan daun ketum ini cuba diseludup ke Thailand kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi di negara berkenaan.

"Bagaimanapun dalam operasi berkenaan tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Berita Harian X