Selasa, 16 Februari 2021 | 4:31pm

Dron mantapkan pengawasan sempadan di Kelantan

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) memantapkan lagi kawalan kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan dengan penggunaan dron bagi mengawal jenayah rentas sempadan di sepanjang Sungai Golok.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar, berkata alat terbabit memberi kawalan udara yang lebih luas sekali gus melancarkan lagi tugasan anggota untuk mengesan sebarang aktiviti penyeludupan.

Katanya, pada masa sama, pemakluman operasi juga dibuat kepada pihak berkuasa di negara jiran bagi mengelakkan timbul salah faham yang boleh menimbulkan konflik antara dua negara.

"Setakat ini, kita baru beberapa kali menggunakan dron daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU), Subang, yang membantu 'menerbangkan' dron di kawasan yang dikenal pasti dan nyata ia berkesan apabila terdapat aktiviti penyeludupan yang digagalkan pihak kami.

"Sebaik dron dilepaskan, pemerhatian dari atas dijalankan dan jika terdapat sebarang pergerakan yang mencurigakan, pasukan PGA di darat terus bertindak mengepung kawasan yang menjadi sasaran.

"Baru-baru ini pihak PGA9 menumpaskan penyeludupan kain batik bernilai RM28,800 hasil tinjauan melalui dron dan strategi itu diteruskan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pada Majlis Serah dan Terima Tugas antara Batalion 9 Pasukan gerakan Am (PGA9) dan Batalion 8 PGA (PGA8) di Markas PGA Lubok Stol, di sini, hari ini.

Hassan berkata, sepanjang sebulan PGA9 bertugas di Ops Benteng COVID-19, pihaknya merampas pelbagai barangan dan ternakan seludup bernilai lebih RM4.1 juta membabitkan 69 kes jenayah rentas sempadan.

"PGA bersedia menghantar anggota untuk mendapatkan latihan dalam penggunaan dron bagi memastikan mereka memiliki kemahiran mengawal alat berkenaan, sekali gus melancarkan kawalan dalam penugasan.

"Selain itu, saya juga ingin berkongsi kejayaan PGA yang menangkap 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 73 warga Thailand, 29 Kemboja, 24 Myanmar dan 11 lagi dari negara-negara lain selain menahan 15 tekong warga tempatan sepanjang Ops Benteng 2020.

"Kawalan terus diperketatkan lagi dari semasa ke semasa bagi memastikan kita dapat mengekang jenayah rentas sempadan selain menghalang kemasukan PATI yang mungkin boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19," katanya.

Hasan Basri Ahmad Safar cuba menaikkan dron sambil dibantu anggota daripada Unit Udara PDRM (UUP) di Markas PGA Lubok Stol - Foto NSTP/Syahera Mustafa
Hasan Basri Ahmad Safar cuba menaikkan dron sambil dibantu anggota daripada Unit Udara PDRM (UUP) di Markas PGA Lubok Stol - Foto NSTP/Syahera Mustafa
Berita Harian X