Isnin, 15 Februari 2021 | 8:12pm
Sebanyak 510kg daun ketum dengan nilai dianggarkan RM15,300 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar semalam. - Foto ihsan PGA Briged Utara
Sebanyak 510kg daun ketum dengan nilai dianggarkan RM15,300 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar semalam. - Foto ihsan PGA Briged Utara

PGA rampas 510kg daun ketum di Felcra Lubuk Sireh

PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas 510 kilogram (kg) daum ketum dianggarkan bernilai RM15,300 ketika menjalankan penugasan Op Benteng COVID-19 di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit, di sini semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner, Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata dalam kejadian jam 5.45 petang, anggota peronda PGA dari Batalion 1 yang sedang menjalankan tugas di sekitar KTJ Ps Simpang Lima, Felcra Lubuk Sireh ternampak pergerakan sekumpulan lelaki yang mencurigakan dalam kawasan berkenaan.

"Menyedari kehadiran anggota PGA, lelaki berkenaan kemudian bertempiaran lari ke kawasan hutan berhampiran. Mengesyaki kumpulan berkenaan adalah penyeludup, anggota PGA kemudian membuat pemeriksaan di kawasan itu dan menjumpai 17 guni berwarna putih yang mengandungi daun hijau dipercayai daun ketum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Daum ketum berkenaan dipercayai cuba diseludup ke Thailand.

Sepanjang Tahun Baru Cina bermula Jumaat lalu hingga semalam, PGA Briged Utara Batalion 1 sudah merampas sebanyak 810kg daun ketum bernilai RM24,300.

Malah, dalam operasi berkenaan juga, seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai penyeludup turut ditahan disamping merampas lima kenderaan termasuk sebuah kereta.

Berita Harian X