Selasa, 9 Februari 2021 | 4:13pm
Antara barangan tiruan yang dirampas KPDNHEP Sabah, semalam. - Foto ihsan KPDNHEP
Antara barangan tiruan yang dirampas KPDNHEP Sabah, semalam. - Foto ihsan KPDNHEP

KPDNHEP Sabah rampas kasut, beg, pakaian tiruan RM101,860

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas 2,926 unit barangan tiruan pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM101,860 dalam serbuan di sebuah premis di sini semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas, berkata serbuan jam 4 petang itu dibuat susulan risikan selama seminggu di lokasi berkenaan serta secara dalam talian yang mana barangan berkenaan dijual.

Premis terbabit yang terletak di tingkat satu sebuah bangunan di bandar raya ini dijadikan sebagai tempat penyimpanan stok kasut, beg dan pakaian tiruan pelbagai jenama.

"Premis perniagaannya terletak di tingkat bawah namun barang-barang tiruan itu tidak dipamerkan di premis perniagaan berkenaan kerana dijual secara dalam talian.

"Antara barangan dirampas iaitu kasut jenama Nike pelbagai saiz sebanyak 1,445 kotak, kasut jenama Adidas (370 kotak), baju jersi jenama Adidas dan Nike (871 helai) serta beg jenama sama (240 unit).

"Semua barangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM101,860," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tujuh pekerja syarikat berkenaan sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Berdasarkan keterangan mereka, perniagaan itu bermula sejak awal Februari dan semua barangan tiruan itu diperoleh daripada pembekal di Singapura.

Pemilik premis adalah disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai barang-barang dengan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah.

Berita Harian X