Rabu, 3 Februari 2021 | 12:40pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Bekas pengerusi GLC dijangka hadapi 22 tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan dan dijangka akan berdepan 22 pertuduhan berhubung skandal pembelian hartanah oleh MARA Inc di Dudley International House, Australia, Jumaat ini.

Lelaki bergelar Datuk dan berusia lingkungan 60-an itu difahamkan sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, hari ini.

Suspek dijangka dituduh di Mahkamah Jenayah Rasuah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 16 (a), 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010.

BH difahamkan, suspek disyaki menerima rasuah sebanyak RM33.45 juta hasil pembelian hartanah di Australia oleh MARA Incorporated (MARA Inc).

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan penahanan lelaki berkenaan serta 22 pertuduhan rasuah yang dijangka dikenakan terhadap suspek.

"Beliau (suspek) akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Rasuah Kuala Lumpur, Jalan Duta, pada 9 pagi Jumaat ini dengan 22 pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16 (a), 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya.

Portal The Sydney Morning Herald sebelum ini melakukan pendedahan berhubung salah laku rasuah itu dan SPRM kemudian memulakan siasatan termasuk berkerjasama dengan agensi penguatkuasaan di negara berkenaan.

Portal terbabit melaporkan seorang individu rakyat Malaysia bermastatutin di Australia didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc.

September lalu, Azam dipetik berkata, SPRM mungkin mendakwa individu tertentu berhubung kes penjualan hartanah Dudley International House.

Ia susulan mahkamah di Australia baru-baru ini, membuat dakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada MARA Inc pada 2013.

Pada 2015, akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya di Australia.

Berita Harian X