Selasa, 2 Februari 2021 | 9:08pm
Reduan dan Adan didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh, hari ini, atas tiga pertuduhan menipu membabitkan pelaburan jenis Bitcoin Actionnode berjumlah RM150,500 pada tahun lalu. - NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Reduan dan Adan didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh, hari ini, atas tiga pertuduhan menipu membabitkan pelaburan jenis Bitcoin Actionnode berjumlah RM150,500 pada tahun lalu. - NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

2 peniaga didakwa tipu pelaburan Bitcoin Actionnode RM150,500

IPOH: Dua peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menipu membabitkan pelaburan jenis Bitcoin Actionnode berjumlah RM150,500 pada tahun lalu.

Reduan Ismail, 38, dan Adan Ibrahim, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa menipu tiga wanita dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh dapat memberikan pulangan pelaburan Bitcoin Actionnode yang dijanjikan 20 peratus selama tujuh bulan berturut-turut.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari 26 Julai 2020, iaitu dengan curangnya mendorong dua wanita melabur wang berjumlah RM146,000.

Bagi pertuduhan ketiga pula, kedua-duanya didakwa menipu seorang lagi wanita di hotel sama kira-kira jam 10 pagi 8 Mei 2020, iaitu dengan curangnya mendorong mangsa melabur wang berjumlah RM4,500.

Bagi semua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dan dengan sebat serta dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K Darinee, manakala tertuduh diwakili tiga peguam, Aizul Rohan Anuar, Hazwa Mahira Azman dan Nurnadiah Zaini.

Terdahulu, Aizul memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana kedua-dua anak guamnya memberikan kerjasama yang baik, selain akaun perniagaan mereka sudah dibekukan.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh masing-masing membayar ikat jamin sebanyak RM7,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin, dan 9 Mac depan bagi sebutan semula kes.

Berita Harian X