Ahad, 31 Januari 2021 | 10:12pm
Mangsa (duduk, kiri) ditemani suaminya menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Sibu - Foto NSTP/Melvin Joni
Mangsa (duduk, kiri) ditemani suaminya menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Sibu - Foto NSTP/Melvin Joni

Polis tahan remaja tetak jiran

SIBU: Seorang remaja ditahan selepas disyaki menetak jirannya yang juga seorang wanita warga emas hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata suspek ditahan di rumahnya, yang terletak kira-kira 500 meter dari kediaman mangsa di Sungai Naman, Durin di sini.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 8.30 pagi, ketika mangsa yang berusia 74 tahun sedang mencabut rumput berhampiran longkang di rumahnya sebelum tiba-tiba didatangi suspek lalu menetaknya.

"Suspek datang dari arah kebun di tepi rumah mangsa dan terus menetaknya dan menikam leher mangsa menggunakan parang.

"Suspek tidak mengeluarkan apa-apa perkataan dan mangsa yang ketakutan menjerit serta terus melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Stanley berkata kejadian disedari suami mangsa dan terus menghubungi polis.

"Suami mangsa melihat isterinya berlumuran darah dan mengatakan telah ditikam oleh budak lelaki yang dikenali. Suspek tinggal tidak jauh dari rumah mangsa," katanya.

Katanya mangsa luka di leher, lengan kanan, jari tangan, dada dan lutut.

Polis merampas sebilah parang sepanjang 66 sentimeter yang digunakan suspek.

Katanya remaja berusia 15 tahun itu masih bersekolah dan adalah anak bongsu daripada lima beradik, dan ibu bapanya sudah bercerai.

Siasatan awal mendapati suspek marah kerana mangsa ada bertanya "kamu ada siapa?" ketika remaja itu melalui belakang rumahnya pada 29 Januari lalu.

Stanley berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X