Rabu, 27 Januari 2021 | 1:04pm

Pengumpul besi buruk hadapi tiga tuduhan merusuh di balai polis

IPOH: Seorang pengumpul besi buruk didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tiga tuduhan merusuh, mencederakan anggota polis dan melakukan khianat awam, Ahad lalu.

Tertuduh, Arnee Ahamad Pazir, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Melati Diana Abd Wahab.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merusuh dan melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan pada pintu cermin balai polis iaitu hak milik kerajaan dengan anggaran kerugian RM380.

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Mohamad Anuar Mohd Noor, 29, dengan memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar iaitu alat yang boleh digunakan sebagai senjata sehingga boleh menyebabkan kematian.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di Pejabat Enkuiri Balai Polis Lahat, dalam penguasaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh, jam 11.40 pagi, 24 Januari lalu.

Bagi kesalahan merusuh, pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya.

Pertuduhan khianat awam adalah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara untuk pertuduhan mengakibatkan kecederaan, pertuduhan mengikut 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad dengan tertuduh diwakili peguam, S Ranjit Singh.

Dalam pembelaannya, Ranjit Singh berkata, kejadian berpunca daripada salah faham anak guamnya itu mengenai prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika mengunjungi premis makanan sebelum mengunjungi balai polis untuk mendapatkan penjelasan.

Sehubungan itu, Ranjit memohon mahkamah menawarkan jaminan RM3,000 bagi semua pertuduhan disebabkan pendapatan tertuduh hanya RM30 sehari, sekali gus berdepan masalah kewangan.

Majistret kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Februari depan untuk sebutan semula kes termasuk penyerahan dokumen berkaitan.

Difahamkan, adik ipar tertuduh membayar wang jaminan.

Arnee Ahamad Pazir (tengah) hadir bersama peguamnya di Mahkamah Majistret Ipoh, di sini. -Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Arnee Ahamad Pazir (tengah) hadir bersama peguamnya di Mahkamah Majistret Ipoh, di sini. -Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X