Sabtu, 23 Januari 2021 | 5:31pm

18 PATI ditahan dalam tiga serbuan di Teluk Ramunia

KUALA LUMPUR: Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh sempadan negara ditangkap di Teluk Ramunia, Pengerang, Johor hasil pengesanan bot asing oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), awal pagi tadi.

Tangkapan dilakukan dalam tiga serbuan berasingan antara jam 2.15 pagi hingga jam 10.50 pagi oleh pasukan Quick Reaction Force (QRF) daripada Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan, hari ini berkata SWASLA yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar 24 jam mengesan pergerakan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Ramunia, kira-kira jam 9.50 malam.

"Bertindak atas maklumat itu, pasukan QRF dan Pasukan Drone Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) diatur gerak ke lokasi untuk membuat penjejakan dan mengepung kawasan itu..

"Dalam serbuan pertama pada jam 2.15 pagi, seramai lapan PATI yang sedang bersembunyi berjaya ditahan sebelum seorang lagi ditahan di kawasan berhampiran pada jam 7 pagi.

"Hasil pengesanan dijalankan, pasukan itu berjaya menahan sembilan lagi PATI, pada jam 10.50 pagi," katanya.

Katanya lagi, kesemua 18 PATI yang ditahan adalah warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan 13 wanita berusia di antara 28 hingga 51 tahun dipercayai, baru tiba ke negara ini melalui laluan yang tidak sah.

"Kita turut merampas wang tunai terdiri daripada mata wang Malaysia dan Indonesia, telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM16,918.

"Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia," kata kenyataan itu.

Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh sempadan negara ditangkap di Teluk Ramunia, Pengerang, Johori. - NSTP/Ihsan ATM
Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh sempadan negara ditangkap di Teluk Ramunia, Pengerang, Johori. - NSTP/Ihsan ATM
Berita Harian X