Sabtu, 23 Januari 2021 | 3:32pm
Seorang lelaki maut selepas tercampak ke lereng bukit dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di KM 450.8 Lebuhraya Utara Selatan hala ke Rawang, pagi tadi. - Foto ihsan polis
Seorang lelaki maut selepas tercampak ke lereng bukit dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di KM 450.8 Lebuhraya Utara Selatan hala ke Rawang, pagi tadi. - Foto ihsan polis

Bapa maut, anak parah dalam kemalangan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya parah selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 450.8 Lebuhraya Utara Selatan hala ke Rawang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Mustafa Abu Bakar, 50, berasal dari Rawang maut di tempat kejadian, manakala anaknya, Fatin Farzana, 21, patah kaki kanan.

Bagaimanapun, pemandu PROTON Waja berusia 23 tahun berasal dari Slim River, Perak tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan mengubah laluan masing-masing di lebuh raya itu.

"Siasatan awal mendapati PROTON Waja sedang mengubah laluan dari lorong kedua daripada kiri ke lorong paling kiri sekali.

"Pada masa sama, motosikal Yamaha Lagenda dinaiki dua beranak itu juga sedang mengubah laluan dari lorong kecemasan ke lorong paling kiri.

"PROTON Waja tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian belakang motosikal mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan terbabas ke bahu jalan dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

"Penunggang motosikal tercampak kira-kira 13 meter ke kawasan lereng bukit manakala pembonceng tercampak di bahu jalan sebelah kiri.

"Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia dan pembonceng patah kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan," kata beliau.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan, justeru saksi kemalangan diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Fahmi Shamsuddin di talian 014 3667353 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X