Sabtu, 16 Januari 2021 | 10:15pm

Lelaki disyaki baling bom petrol ditahan

PASIR GUDANG: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa siri membaling bom petrol dan cat merah di sekitar kawasan perumahan di Seri Alam, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 pagi tadi atas maklumat awam.

"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seri Alam mengesan dan menahan seorang lelaki berumur 36 tahun di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Ria Plentong, Masai.

"Suspek dipercayai terbabit dalam beberapa siri perlakuan membaling bahan letupan molotov cocktail (bom petrol) dan cat merah di rumah beberapa mangsa di sekitar Seri Alam.

"Polis turut menemui dan merampas pelbagai jenis barang termasuk pakaian dan topi keledar milik suspek dengan kesan percikan cat merah, serta pen penanda dipercayai digunakan untuk menulis nota ugutan ditinggalkan di pintu pagar rumah mangsa.

"Kita juga menemui pemetik api yang dipercayai digunakan untuk menghidupkan sumbu molotov cocktail.

"Polis percaya suspek terbabit dalam satu kes membaling bahan letupan di hadapan rumah seorang mangsa di Taman Molek Khamis lalu kira-kira jam 9.30 pagi.

"Dia juga dipercayai terbabit dalam kes membaling cat merah di hadapan sebuah rumah di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram pada hari sama kira-kira pada jam 11.15 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, polis mengesahkan menerima laporan insiden menyimbah cat di sebuah kediaman di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru, yang dipercayai angkara peminjam wang tidak berlesen tersilap rumah.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, suspek mempunyai dua rekod kesalahan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Johor Bahru Selatan dan kes penipuan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Inanam, Sabah.

"Suspek turut mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah dengan hasil saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah.

"Suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X