Ahad, 10 Januari 2021 | 6:15pm
Empat telefon bimbit dan satu kad ATM yang dirampas daripada seorang lelaki yang ditahan kerana membuat 35 mesej ugutan bunuh dan memeras wang menerusi SMS yang dihantar secara rambang, semalam. - Foto ihsan Polis
Empat telefon bimbit dan satu kad ATM yang dirampas daripada seorang lelaki yang ditahan kerana membuat 35 mesej ugutan bunuh dan memeras wang menerusi SMS yang dihantar secara rambang, semalam. - Foto ihsan Polis

Lelaki hantar 35 mesej ugut bunuh, peras wang ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba mendapatkan wang secara mudah dengan menghantar 35 mesej ugutan bunuh secara rambang dan memeras mangsa membayar sejumlah wang, semalam.

Tangkapan ke atas suspek berusia 29 tahun itu dilakukan kira-kira jam 2 petang di Jalan Pantai Cenang, Langkawi oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pihaknya menerima 35 laporan polis daripada individu berbeza sejak 1 Januari lalu berkaitan mesej ugutan yang diterima di telefon bimbit masing-masing dipercayai dihantar oleh suspek.

Katanya, laporan terbaharu diterima pada Rabu lalu, daripada seorang wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta.

"Mangsa membuat laporan polis pada jam 10.23 malam selepas menerima satu mesej berbaur ugutan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbitnya.

"Mangsa diugut supaya memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke sebuah akaun bank tempatan dan sekiranya enggan, dia akan dibunuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan laporan itu, katanya pihak polis menjalankan risikan dan berjaya mengesan kedudukan lokasi suspek yang berada di Langkawi.

"Sepasukan anggota polis dari IPD Petaling Jaya akhirnya berjaya menahan suspek di Jalan Pantai Cenang, Langkawi, petang semalam dan merampas empat telefon bimbit dan satu kad pengeluaran wang (ATM) miliknya.

"Kita percaya suspek menghantar mesej berbaur ugutan itu secara rambang ke nombor telefon orang ramai yang tidak dikenali dan setakat ini tiada mangsa yang mengalami kerugian.

"Semakan mendapati, suspek yang juga seorang peniaga mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes judi dan suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan," kata beliau.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan.

Berita Harian X