Ahad, 10 Januari 2021 | 3:43pm

Lelaki maut kereta bertembung pikap

SEPANG: Seorang lelaki maut manakala dua lagi lelaki termasuk seorang penunggang motosikal, cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di selekoh berhampiran sebuah kuil di Jalan Salak-Sepang hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata nahas jam 2.30 pagi itu membabitkan Perodua Kancil, pikap dan motosikal jenis Yamaha LC 135.

Wan Azran berkata, siasatan awal mendapati Perodua Kancil yang dipandu mangsa dari arah Sepang-Salak dan pikap dari arah Salak-Sepang itu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung.

Motosikal yang datang dari arah Salak-Sepang itu pula tidak sempat mengelak Perodua Kancil yang melintang di jalan lalu terlanggar bucu belakang sebelah kanan kenderaan terbabit.

Akibat kemalangan itu pemandu Perodua Kancil tersepit dalam kereta dan cedera di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu pikap cedera ringan di tangan kiri manakala penunggang motosikal patah tangan kiri.

Mayat mangsa dibawa ke bahagian forensik Hospital Putrajaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X