Ahad, 10 Januari 2021 | 9:25am
Polis memohon saksi kejadian kemalangan maut membabitkan enam kenderaan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Lorong Melati, Kuang di Sungai Buloh kelmarin untuk tampil membantu siasatan. - NSTP/Ihsan Polis

Jurutera maut digilis lori

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera elektrik maut akibat digilis sebuah lori selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lorong Melati, Kuang, Sungai Buloh menghala ke Kuang, kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira 1.13 tengah hari itu, mangsa berusia 26 tahun dan berasal dari Alor, Gajah, Melaka yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah lori 'tipper' yang mengalami kegagalan brek.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata akibat rempuhan itu, mangsa jatuh dan terperosok di bahagian bawah tayar hadapan kiri lori.

Polis memohon saksi kejadian kemalangan maut membabitkan enam kenderaan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Lorong Melati, Kuang di Sungai Buloh kelmarin untuk tampil membantu siasatan. - NSTP/Ihsan Polis
Polis memohon saksi kejadian kemalangan maut membabitkan enam kenderaan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Lorong Melati, Kuang di Sungai Buloh kelmarin untuk tampil membantu siasatan. - NSTP/Ihsan Polis

"Mangsa turut diseret kira-kira empat meter dan dalam masa sama, lori berkenaan turut melanggar belakang sebuah PERODUA Kancil yang berada di hadapannya.

"Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit menggelungsur ke hadapan dan merempuh belakang sebuah lori 'bonded' yang kemudian melanggar belakang sebuah kereta PERODUA Kenari seterusnya belakang sebuah Toyota Vios," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala, pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa.

"Sebuah kren juga terpaksa digunakan untuk membantu dalam operasi itu," katanya yang turut memaklumkan lokasi kemalangan adalah laluan lurus dua hala menuruni bukit yang sesak dengan kenderaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, pihaknya memohon saksi kemalangan untuk tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X