Khamis, 7 Januari 2021 | 5:22pm
 Mayat lelaki warga emas dipercayai dibunuh ditemui di dalam bonet belakang sebuah kereta di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan, Puchong, kelmarin.
Mayat lelaki warga emas dipercayai dibunuh ditemui di dalam bonet belakang sebuah kereta di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan, Puchong, kelmarin.

Suspek bunuh warga emas angkara sengketa tayar direman 7 hari

KUALA LUMPUR: Suspek yang disyaki membunuh seorang lelaki warga emas akibat perselisihan faham berhubung pembelian tayar dan mayatnya ditemui disumbat dalam but sebuah kereta di Taman Wawasan, Puchong dekat sini, semalam direman tujuh hari.

Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan pihaknya pada jam 2 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu, Negeri Sembilan, semalam.

"Suspek ditahan di Kuala Klawang, Negeri Sembilan pada 2 Januari lalu oleh Polis Daerah Jelebu.

"Seterusnya, kita tahan suspek semalam untuk membantu siasatan kes kehilangan mangsa yang dilaporkan hilang oleh keluarganya di Balai Polis Damansara pada 1 Januari lalu.

"Hasil soal siasat ke atasnya membawa kepada penemuan mayat mangsa yang diletakkan di dalam bonet belakang sebuah kenderaan di Taman Wawasan, Puchong," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis menerima laporan mengenai kehilangan mangsa daripada seorang wanita berusia 43 tahun yang juga anak mangsa, kira-kira jam 1.24 pagi, 1 Januari lalu

"Bapanya yang berusia 69 tahun dikatakan tidak pulang selepas keluar dari kediaman mereka di Setia Alam, Shah Alam kira-kira jam 3 petang, 31 Disember untuk ke bengkel kenderaan miliknya di Kampung Kayu Ara, Damansara.

"Wanita itu turut mendapati kad kredit bapanya digunakan dalam dua pembelian di sebuah kedai serbaneka di Kuala Klawang selepas menerima notis pemberitahuan daripada pihak bank," katanya.

Katanya, susulan siasatan ke atas transaksi pembelian itu, membawa kepada penahanan suspek pada 2 Januari lalu.

Menurutnya, siasatan turut mendapati motif pembunuhan adalah perselisihan faham yang berlaku di antara mangsa dan suspek berhubung pembelian tayar bernilai RM500.

"Mangsa dikatakan membuat bayaran RM500 kepada suspek tetapi tidak menerima bekalan tayar yang dijanjikan suspek.

"Suspek dipercayai mencekik mangsa sehingga mati sebelum menyimpan mayat mangsa di dalam bonet belakang sebuah kenderaan yang dipandu mangsa pada hari kejadian," katanya.

Nik Ezanee berkata semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes tipu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 2014.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Berita Harian X