Khamis, 7 Januari 2021 | 3:12pm

Stor simpan dadah diserbu

KLANG: Polis menyerbu sebuah stor penyimpanan dadah berselindung di sebalik premis besi buruk di kawasan Jalan Persiaran Seri Junjung, Pelabuhan Klang di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan ke atas premis itu dilakukan susulan penahanan dua suspek lelaki di Telok Gong pada hari sama.

"Polis melancarkan dua serbuan di Telok Gong dan Pelabuhan Klang antara jam 2 hingga 6 petang.

"Susulan pemeriksaan, polis menahan dua pengedar dadah dan merampas sejumlah dadah jenis heroin dianggar seberat 455 gram di lokasi pertama, Telok Gong.

"Soal siasat awal ke atas suspek membawa kepada pembongkaran premis yang dijadikan stor untuk menyimpan dadah di Pelabuhan Klang.

"Pembongkaran itu membawa kepada rampasan dadah jenis heroin seberat 1,819 gram dan sepucuk pistol berserta kelopak," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.

Shamsul Amar berkata, siasatan mendapati suspek berusia 25 tahun itu mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah.

"Suspek pernah ditahan dan dikenakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) pada 2018 sebelum dibebaskan pada penghujung 2019 dan didapati kembali aktif mengedar dadah selepas itu.

"Suspek yang berumur 40 tahun pula tidak mempunyai rekod jenayah namun ujian air kencing ke mendapati kedua-duanya positif dadah," katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah ialah seberat 2,742 gram dan dianggar bernilai RM20,000.

Shamsul Amar berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Wira dan beberapa barang bernilai kira-kira RM10,000, manakala siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran dadah dan status senjata api.

"Kedua-dua tahanan direman sehingga 12 Januari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang pengedar dadah ditangkap bersama dadah syabu seberat 256.18 gram dianggar bernilai RM25,000 di Bandar Botanik jam 9.45 malam, 31 Disember lalu.

Katanya, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu didapati positif dadah dan polis turut merampas kenderaan jenis Perodua Kelisa bernilai RM12,000.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin serta sepucuk pistol yang dirampas dalam serbuan di Pelabuhan Klang. - NSTP/Faiz Anuar
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin serta sepucuk pistol yang dirampas dalam serbuan di Pelabuhan Klang. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X