Selasa, 5 Januari 2021 | 1:41pm

Duda cederakan anak kandung didenda RM5,000

TAIPING: Seorang tukang paip didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan anak lelaki sulungnya pada 27 Disember lalu.

Hakim Nizam Zakaria menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Jamal Azrul Mohd Zainuddin, 35, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada tiga anak yang juga seorang duda itu, dipenjara selama enam bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kecederaan fizikal ke atas mangsa berusia 10 tahun di dahi, lengan kiri, dan belakang badan.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bekas isterinya yang juga ibu mangsa di Pokok Assam di sini, jam 1 tengah hari 27 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Siti Nor Rasyidah M Nazri, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Mohd Jamal dibawa memasuki kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen Taiping sebelum dijatuhi didenda RM5,000 hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan anak kandungnya yang berusia 10 tahun, dalam kejadian pada Disember tahun lalu. - NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Berita Harian X