Sabtu, 2 Januari 2021 | 12:47pm
Seramai 48 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Tun H S Lee di sini, dikenakan tindakan kerana ingkar PKPB, awal pagi semalam. Ihsan Polis
Seramai 48 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Tun H S Lee di sini, dikenakan tindakan kerana ingkar PKPB, awal pagi semalam. Ihsan Polis

17 dikompaun, 31 ditahan berhibur ketika ambang 2021

KUALA LUMPUR: Seramai 48 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Tun H S Lee di sini, dikenakan tindakan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, kesemua pengunjung yang sedang leka berhibur sempena ambang Tahun Baharu 2021 terdiri daripada 17 warga tempatan dan 31 warga asing diperiksa.

Kesemua yang diperiksa berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Mohamad Zainal Abdullah, berkata semakan mendapati pusat hiburan berkenan mempunyai lesen hiburan yang sah dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Menerusi serbuan itu, seramai 31 pengunjung warga asing yang diperiksa, ditahan mengikut Sekyen 6

(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56 (1) (l) akta yang sama.

"Seramai 17 pengunjung warga tempatan pula dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.9) 2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, orang ramai, warga asing dan pengusaha pusat hiburan diberikan amaran supaya terus mematuhi arahan PKPB.

"Mereka yang ingkar berdepan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.9) 2020 dan lain-lain peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlanggaran PKPB untuk menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran," kata beliau.

Berita Harian X