Jumaat, 1 Januari 2021 | 3:03pm

Pusat karaoke deejay seksi digempur

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat karaoke yang dipercayai menawarkan khidmat deejay wanita seksi khusus bagi sambutan Tahun Baru, digempur Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, malam tadi.

Serbuan dijalankan jam 11.45 malam hasil maklumat dan risikan yang mendapati pusat hiburan di Jalan Loke Yew, di sini, itu sering beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Saiful Annuar Yusoff, berkata pihaknya terpaksa menguji kemahiran wanita warga Vietnam terbabit memasang sistem peralatan audio miliknya bagi memastikan dia benar-benar seorang deejay dan bukannya pengunjung.

"Pada mulanya kita mengesyaki wanita terbabit adalah pelanggan yang datang berhibur di pusat karaoke berkenaan.

"Bagaimanapun wanita itu mendakwa dibayar sejumlah wang untuk menghiburkan pelanggan dalam sebuah bilik khas dengan lagu remix yang digubahnya.

"Meskipun dia dapat membuktikan kemahirannya sebagai seorang deejay, namun dia ditangkap kerana melanggar syarat serta disiasat mengikut Akta Imigresen," katanya yang mengetuai serbuan berkenaan.

Saiful Annuar berkata, pihaknya menjalankan ujian air kencing terhadap 32 pelanggan lelaki tempatan dan lima wanita tempatan selain mengeluarkan kompaun Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (2020).

"Berdasarkan ujian air kencing, lima pengunjung positif dadah syabu, ketamin dan ecstacy dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(b) Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Selain Peraturan 11, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit terhadap pemilik pusat hiburan berkenaan.

Pusat hiburan bawah tanah itu dilaporkan beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan menggunakan laluan rahsia di belakang bangunan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Serbuan turut membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), JSJ; Jabatan Integriti Pematuhan Standard, Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bahagian Narkotik Polis Daerah Dang Wangi.

 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Saiful Annuar Yusoff (tengah) bersama timbalannya, Asisten Komisioner Nasri Mansor (kanan) menyoal siasat deejay wanita warga Vietnam dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Loke Yew, di ibu negara malam tadi. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Saiful Annuar Yusoff (tengah) bersama timbalannya, Asisten Komisioner Nasri Mansor (kanan) menyoal siasat deejay wanita warga Vietnam dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Loke Yew, di ibu negara malam tadi. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X