Rabu, 30 Disember 2020 | 7:13pm
Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal
Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal

Peras ugut taukeh sarang burung, 2 polis ditahan

PETALING JAYA: Dua anggota polis ditahan dipercayai terbabit memeras wang daripada seorang ahli perniagaan sarang burung pada Rabu lalu.

Kedua-dua anggota dari balai polis dekat sini ditahan dalam dua tangkapan di Sri Hartamas pada 24 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata dalam kejadian 21 Disember lalu itu, ahli perniagaan yang berusia 57 tahun dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Cameron Highlands, Pahang.

Katanya, kenderaan mangsa ditahan sebuah kereta peronda polis dinaiki dua anggota berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, kira-kira jam 6 petang.

"Suspek memeriksa telefon bimbit mangsa dan mengugut mahu menangkapnya atas kesalahan membeli nombor ekor haram.

"Mangsa minta dibebaskan sebelum suspek mengarahkannya membayar RM20,000 sebagai balasan tetapi mangsa hanya mampu membayar RM4,000 sahaja," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya suspek kemudian mahu mangsa membayar RM5,000 sebelum membawa lelaki itu ke sebuah stesen minyak untuk mengeluarkan wang dan mangsa kemudian dibebaskan selepas wang itu dibayar.

"Ahli perniagaan itu kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 11 pagi, 23 Disember lalu.

"Hasil siasatan, polis menahan seorang suspek kira-kira jam 2 petang keesokannya dan menyita sebuah kereta peronda polis jenis PROTON Preve," katanya.

"Hasil soal siasat ke atas suspek, polis menahan seorang lagi suspek kira-kira jam 9 malam hari yang sama," kata beliau.

Katanya, semakan mendapati suspek pertama berusia 30 tahun tiada rekod jenayah manakala suspek kedua berusia 38 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun pada 2018 namun sudah dituduh dan dilepaskan.

Lanjutan daripada penahanan itu, katanya kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga Ahad lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X