Ahad, 27 Disember 2020 | 3:21pm

7 ditahan tipu pelaburan bitcoin

JOHOR BAHRU: Tujuh individu termasuk dua wanita ditahan dipercayai terbabit dengan kes penipuan pelaburan bitcoin dalam serbuan di Taman Abad di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Fadzli Mohd Zain, berkata mereka yang ditahan termasuk seorang lelaki warga China berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Katanya, kesemua suspek disyaki terbabit dalam pelaburan bitcoin dalam talian yang tidak wujud dan menerima gaji RM3,000 sebulan serta komisen lima peratus daripada hasil penipuan.

"Terdapat satu laman web dipercayai digunakan suspek dalam aktiviti pelaburan bitcoin tidak wujud.

"Suspek juga berperanan mencari mangsa di media sosial dengan memulakan perbualan sebagai kawan sehingga mendapat kepercayaan daripada mangsa dan seterusnya mendorong mangsa untuk melabur dalam bitcoin.

"Mangsa juga dikehendaki mendaftar ketika menyertai pelaburan bagi mendapatkan kata nama dan kata laluan. Mangsa yang menyertai pelaburan ini juga dikehendaki untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank yang dipercayai dikawal dari China," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Padzli berkata semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, dalam serbuan jam 5.30 petang itu, polis merampas sebuah laptop jenama Dell dan 25 telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan penipuan pelaburan bitcoin.

"Kesemua suspek warga tempatan ditahan reman tiga hari, manakala suspek warga China ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya ditawarkan untuk menyertai sebarang pelaburan.

"Masyarakat diingatkan sebelum menyertai sebarang pelaburan, pastikan pelaburan adalah wujud dan berdaftar dengan pihak Bank Negara Malaysia," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X