Ahad, 27 Disember 2020 | 2:51pm
Helikopter digunakan untuk mencari mangsa dikhuatiri lemas di pantai Jambu Bongkok, Marang. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Helikopter digunakan untuk mencari mangsa dikhuatiri lemas di pantai Jambu Bongkok, Marang. - Foto NSTP/Rosli Ilham

2 helikopter cari mangsa lemas

MARANG: Dua helikopter masing-masing milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi mencari mangsa dikhuatiri lemas di Pantai Jambu Bongkok, dekat sini hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga ini turut menggunakan enam jet ski.

Timbalan Pengarah Operasi Bomba Negeri, Mohd Basri Kamarazaman, berkata kedua-dua helikopter terbabit digerakkan untuk pencarian di sekitar 25 kilometer dari Jambu Bongkok hingga ke Dungun.

Selain itu, dua bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan sebuah bot milik JBPM turut terbabit dalam operasi berkenaan.

"Cuaca baik serta ombak sedikit tenang hari ini memudahkan pencarian menggunakan jet ski.

"Semalam keadaan ombak sangat kuat hingga menyukarkan operasi mencari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pasukan pencarian turut menggunakan jet ski berikutan ombak tenang hari ini. Foto NSTP/Rosli Ilham
Pasukan pencarian turut menggunakan jet ski berikutan ombak tenang hari ini. Foto NSTP/Rosli Ilham

Mohd Basri berkata, pencarian disertai 92 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan dengan kerjasama penduduk kampung.

"Operasi hari ini diperluaskan daripada jarak pencarian sembilan kilometer kepada 25 kilometer sehingga ke Dungun.

"Berdasarkan kepada penemuan mayat mangsa lemas di Kelulut Marang pagi tadi, kita percaya mangsa di sini akan ditemui dalam keadaan yang sama," katanya.

Beliau berkata pihaknya memberi tumpuan pencarian di kawasan pesisir pantai dan berharap mangsa segera ditemui.

Berita Harian X