Ahad, 27 Disember 2020 | 11:14am
Empat lelaki termasuk seorang tokan dadah ditahan polis ketika hendak menyewa bilik di sebuah inap desa di Kampung Titi Akar, Pendang. Foto ihsan PDRM
Empat lelaki termasuk seorang tokan dadah ditahan polis ketika hendak menyewa bilik di sebuah inap desa di Kampung Titi Akar, Pendang. Foto ihsan PDRM

Tokan dadah, tiga rakan ditahan

PENDANG: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang tokan dadah di belakang sebuah inap desa di Kampung Titi Akar, Jalan Sungai Tiang, di sini yang mahu dijadikan lokasi membungkus dadah, malam tadi.

Kesemua suspek berusia sekitar 20-an ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sungai Tiang, jam 11.55 malam berdasarkan maklumat awam yang diperolehi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata anggotanya yang tiba di lokasi mendapati terdapat empat lelaki berada di belakang inap desa berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kemudian melakukan serbuan dan menahan mereka di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 28.76 gram di atas lantai simen kaki lima belakang tempat keempat-empat saspek berada.

"Turut ditemui satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran 4.73 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, keempat-empat suspek turut mengaku mahu menyewa bilik di inap desa itu untuk membungkus dadah serta menghisap dadah.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati mereka positif dadah jenis methampetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952.

"Selain itu, polis turut mengesan individu yang disyaki terbabit sama dalam kegiatan mereka yang tinggal di kawasan Sungai Tiang dan sekiranya orang awam mempunyai maklumat, boleh menyalurkannya untuk membantu," katanya.

Berita Harian X