Sabtu, 26 Disember 2020 | 7:37am

Wanita warga Myanmar maut ditikam adik ipar

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Myanmar maut akibat ditikam adik iparnya yang mengamuk di sebuah kediaman di sebuah apartmen di USJ 7, Subang Jaya, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa berusia 45 tahun yang juga seorang pekerja di sebuah kilang sarung tangan, dikatakan cuba meleraikan pergaduhan antara suspek dan isterinya di ruang tamu kediaman itu sebelum ditikam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor, berkata suspek dikatakan bertengkar dengan isterinya yang juga adik mangsa kerana tidak menyediakan makanan yang mencukupi.

"Suspek yang berada dalam keadaan mabuk pada masa itu terus mengamuk, menarik rambut dan menumbuk kepala isterinya.

"Mangsa cuba menenangkan suspek, tetapi lelaki itu terus menikam bahagian belakang badan mangsa dengan sebilah pisau sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

"Suspek berjaya ditahan pada jam 8 malam di bawah blok kediamannya dan senjata yang digunakan untuk menikam mangsa dirampas di tempat kejadian.

"Suspek warga Myanmar berusia 42 tahun yang juga pekerja sebuah kilang sarung tangan akan direman untuk siasatan lanjut," kata beliau.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesesakan.

Berita Harian X