Khamis, 24 Disember 2020 | 1:08pm
Tertuduh, Wong Kok Hing, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas enam pertuduhan melakukan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah. - Foto NSTP/ Iqmal Haqim Rosman
Tertuduh, Wong Kok Hing, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas enam pertuduhan melakukan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah. - Foto NSTP/ Iqmal Haqim Rosman

Ah long hadapi 6 pertuduhan beri pinjam wang tanpa lesen

AYER KEROH: Seorang pemberi dan pengutip hutang atau 'ah long' mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan menjalankan perniagaan tidak sah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Wong Kok Hing, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan dibacakan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada enam individu secara berasingan berusia antarav 23 hingga 57 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara 25 Julai 2019 hingga 12 Disember lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin tidak menawarkan sebarang jaminan, namun jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau mencadangkan jumlah RM50,000 diberikan bagi semua pertuduhan.

Tertuduh melalui peguam Loong Meng Si merayu mahkamah menetapkan jaminan rendah dengan alasan menghidap diabetes dan darah tinggi, selain turut menanggung ibu serta bapa yang sudah tua.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dan 27 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X