Rabu, 23 Disember 2020 | 5:33pm

Polis tahan 'ustaz', 'pegawai imigresen' samun warga asing

PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai Imigresen dan ustaz kerana disyaki menyamun warga asing, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata polis memberkas dua lelaki terbabit selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 50 tahun.

"Suspek ditahan di Flat San Peng dan Jalan Changkat. Suspek sebelum itu memperkenalkan diri sebagai 'ustaz'.

"Suspek dipercayai bersekongkol dengan seorang rakannya yang menyamar sebagai pegawai Imigresen lengkap berpakaian seperti penguat kuasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Menjelas lanjut, mangsa mendakwa disamun ketika sedang mendapatkan rawatan rohani dengan suspek di sebuah premis dekat Sungai Way.

Katanya, ketika dirawat, seorang 'pegawai Imigresen' muncul dan meminta warga asing itu menyerahkan pasport dan barang peribadi.

"Mangsa yang ketakutan menyerahkan semua barang peribadi termasuk telefon bimbit, subang emas dan cincin serta wang tunai RM1,500," katanya.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee, berkata siasatan lanjut mendapati suspek turut mencuri barang rakan mangsa yang sedang tidur di premis berkenaan.

"Suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah itu sejak dua tahun lalu, dengan mensasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang.

"Kita percaya ramai lagi warga asing yang menjadi mangsa," katanya.

Dua suspek terbabit katanya direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Nik Ezanee (kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas pada sidang media berkenaan kes samun bersenjata parang yang mensasarkan warga asing di sekitar daerah Petaling Jaya. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Nik Ezanee (kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas pada sidang media berkenaan kes samun bersenjata parang yang mensasarkan warga asing di sekitar daerah Petaling Jaya. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Berita Harian X