Rabu, 16 Disember 2020 | 9:17pm
Pihak berkuasa memeriksa kotak kayu berisi buah-buahan yang cuba diseludup masuk ke Tawau, pagi tadi. - Foto ihsan PPM
Pihak berkuasa memeriksa kotak kayu berisi buah-buahan yang cuba diseludup masuk ke Tawau, pagi tadi. - Foto ihsan PPM

Cubaan seludup masuk dua tan buah mangga, avokado gagal

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki yang cuba menyeludup masuk 2,000 kilogram (kg) mangga, avokado dan buah naga tanpa permit, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.05 pagi, PPM dalam Ops Benteng COVID, mengesan sebuah bot jongkong dikendalikan suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan CIQ Lama Tawau, sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail, berkata pemeriksaan awal ke atas bot jongkong mendapati ia sarat dengan muatan kotak kayu berisi buah-buahan disyaki cuba dibawa masuk dari Indonesia.

Bot jongkong yang digunakan untuk menyeludup masuk lebih 2000kg buah-buahan ke daerah ini. - Foto ihsan PPM
Bot jongkong yang digunakan untuk menyeludup masuk lebih 2000kg buah-buahan ke daerah ini. - Foto ihsan PPM

Hasil siasatan mendapati suspek warga tempatan berusia 26 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Jabatan Pertanian untuk membawa masuk buah-buahan berkenaan.

"Rampasan membabitkan 900kg buah mangga, avokado (900kg) dan buah naga (210kg) yang semuanya dianggarkan bernilai RM22,320 dan dipercayai untuk dipasarkan di daerah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nazari berkata, suspek bersama barang rampasan termasuk bot jongkong dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

"Kesalahan disiasat mengikut Enakmen Peraturan Kuarantin Tumbuhan (Import dan Eksport) 1981," katanya.

Berita Harian X