Ahad, 13 Disember 2020 | 11:04am
Muhammad Alif Amin Cik Di lemas ketika mandi bersama abang kembarnya dan dua rakan di Sungai Kuala Temonyong, Langkawi. - Foto ihsan pembaca
Muhammad Alif Amin Cik Di lemas ketika mandi bersama abang kembarnya dan dua rakan di Sungai Kuala Temonyong, Langkawi. - Foto ihsan pembaca

Lemas depan abang kembar

LANGKAWI: Budak lelaki lapan tahun, lemas ketika mandi bersama kembar dan rakannya di Sungai Kampung Kuala Temonyong di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang, Muhammad Alif Amin Cik Di, 8, yang lemas cuba diselamatkan seorang pekerja membuat jalan berhampiran, tetapi mangsa sudah tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima maklumat pada jam 4.25 petang dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi sebelum usaha menyelamat dilakukan.

"Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa mandi bersama abang kembarnya dan rakan-rakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Iqbal berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

"Bagaimanapun, sejurus tiba di HSM pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X