Khamis, 10 Disember 2020 | 2:50pm

Penjawat awam rugi RM23,000 diperdaya 'Pegawai LHDN'

KOTA BHARU: Panik dimaklumkan terbabit dalam kegiatan dadah dan pengubahan wang haram, seorang penjawat awam kerugian RM23,000 apabila wang berkenaan lesap daripada akaun bank miliknya.

Terdahulu, wanita berusia 30-an itu dihubungi suspek yang kononnya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM38,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed, berkata panggilan itu diterima mangsa pada Isnin lalu berkaitan tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan di Kuantan, Pahang.

"Mangsa menafikan memiliki perniagaan itu sebelum dihubungkan dengan beberapa individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan menyatakan mangsa juga terbabit dengan siasatan kes dadah dan pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudiannya diminta untuk menyenaraikan akaun bank yang dimilikinya termasuk akaun Tabung Haji dan diarahkan supaya memindahkan semua wang itu ke dalam satu akaun yang dipilih suspek atas alasan memudahkan siasatan dijalankan bagi membersihkan nama mangsa daripada disenaraihitamkan," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Azizul berkata, mangsa kemudiannya menerima satu mesej aplikasi WhatsApp daripada suspek yang mengandungi fail Android Package Kit (APK) iaitu satu aplikasi telefon pintar.

Menurutnya, mangsa segera memuat turun aplikasi itu serta memberi kebenaran akses telefon pintarnya menerusi aplikasi berkenaan dan turut mengisi maklumat terperinci kesemua akaun bank miliknya dalam aplikasi itu termasuk kata laluan.

"Dalam masa yang sama, suspek meminta mangsa merahsiakan 'siasatan sulit' yang dijalankan mereka serta memberi amaran agar mangsa tidak membuat sebarang transaksi perbankan termasuk dalam talian dalam tempoh tiga hari.

"Mangsa yang kemudiannya berasa curiga membuat semakan baki akaun bank dan mendapati sebahagian besar wang simpanannya iaitu sebanyak RM23,000 sudah lesap dan tampil membuat laporan polis pada keesokan harinya," katanya.

Ahmad Azizul meluahkan rasa kesalnya kerana masih ada individu daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang yang percaya dengan taktik penipuan jenayah telekomunikasi seperti macau scam itu walaupun mendapat liputan yang meluas di media massa dan juga di media sosial.

Katanya, majoriti mangsa kes macau scam diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun bank pihak ketiga (akaun keldai) dan ada juga yang menggunakan taktik meminta nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) perbankan internet daripada mangsa serta menggunakan laman sesawang atau aplikasi telefon pintar yang palsu atau phishing bagi mendapatkan maklumat perbankan mangsa.

"Orang ramai diseru supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dengan sindiket ini supaya tidak menjadi mangsa yang seterusnya.

"Antara langkah yang boleh diambil untuk memastikan diri tidak menjadi mangsa kepada kes ini ialah memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar 'Check Scammers CCID' untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang digunakan sama ada pernah terbabit dalam kes jenayah komersil," katanya.

Berita Harian X